Cameron Highland, Pahang


Seminggu selepas majlis perkahwinan aku & isteri, Ruzia Hanum berlangsung kami telah berangkat ke Cameron Highland untuk bercuti.Lebih kurang macam 'honeymoon' la. Tanggal pagi 21 Januari 2009 kami bertolak ke Cameron Highland melalui Simpang Pulai berhampiran bandar Ipoh. Lebih kurang 45 minit perjalanan mendaki dengan kereta, akhirnya kami tiba di pekan Tanah Rata.
Kami menginap di sebuah apartment Villa Dahlia berhampiran tanah rata. Mujurlah apartment yang kami sewa cukup selesa dengan kemudahan seperti dapur yang lengkap dan yang paling penting anda pemanas air di bilik mandi. Dengan suhu persekitaran yang rendah disini, sejuk rasanya nak sentuh air.

Sebaik sahaja urusan penginapan selesai, kami memulakan aktiviti ronda-ronda pada sebelah petang itu juga. Tempat pertama yang kami kunjungi adalah sebuah kedai berhampiran Tanah Rata dalam perjalanan menghala ke Brinchang. Tempat tersebut bukan sahaja kedai yang menjual cenderahati tetapi juga terdapat kebun bunga dan juga sayur-sayuran disebelahnya. Pelbagai jenis bunga-bungaan, orkid & kaktus dijual disini. Malahan kami juga berpeluang melihat sendiri pokok tomato & pokok strawberi dari dekat malah dapat menyentuhnya juga.

Tersenyum tuan punya kedai bunga tu. Mana taknya, ada dalam 3~4 pokok bunga yang emak beli. Berkenan dihati la tu. Lagipun susah nak cari bunga yang yang macam tu kat tempat lain.


Seterusnya kami menghala ke Brinchang dan menuju ke sebuah kebun strawberi yang berkonsepkan taman agro pelancongan, iaitu Big Red Strawberry Farm.


Apa yang menarik taman agro ini terletak di lereng bukit dan bukan pokok strawberry sahaja yang ditanam disisi tetapi terdapat juga sayur-sayuran yang ditanam secara hidroponik, perlbagai jenis bunga-bungaan, orkid & kaktus dipamerkan untuk dijual. Malahan kita juga boleh merasai sendiri pengalaman memetik dengan tangan sendiri buah strawberi segar dari pokoknya. Tapi bila dah petik, kenalah beli.


Hari kedua di tanah tinggi- Selepas sarapan, kami meneruskan percutian kami dengan melawat sebuah taman lebah yang terletak di Kea Farm. Di sini, kami dapat melihat dari dekat sarang lebah yang digunakan untuk mendapatkan madu dari lebah liar yang mencari debunga di hutan.

Tidak lengkap sekiranya ke Cameron Highland jika tidak ke ladang teh. Oleh kerana hendak melengkapkan percutian ini, kami telah ke sebuah ladang teh yang terletak beberapa kilometer selepas pekan Tanah Rata iaitu Ladang Teh Bharat yang mengeluarkan teh jenama Cameron Valley. Terpesona mata apabila melihat kehijauan pokok teh seumpama hamparan karpet hijau yang luas terbentang.



Hari terakhir- Sebelum berangkat untuk pulang, kami singgah dahulu di pasar berhampiran Kea Farm. Di sini pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, bunga dan juga cenderamata yang boleh dibeli sebagai tanda kenangan.
Kami juga tidak terlepas untuk memborong sayur-sayuran yang dijual dengan harga yang cukup murah. Rambang mata dibuatnya apabila para peniaga masing-masing menawarkan harga yang terbaik untuk merebut pelanggan.


Labels: